KemahKeming68

Tsham: Kehadiran Ahmad Fakri Pertingkat Jentera Serangan

Thursday 21 March 2013




KOTA BHARU - Kehadiran pemain baharu Kelantan, Ahmad Fakri Saarani, bakal mempertingkatkan jentera serangan serta sayap pasukan 'The Red Warriors' pada perlawanan pusingan kedua Liga Super, April depan.
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata Ahmad Fakri, bekas pemain Felda United, kini mempunyai masa kira-kira tiga minggu untuk mempersiapkan diri menjelang sepak mula pusingan kedua saingan tersebut menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 13 April.
"Saya percaya beliau tidak asing lagi dengan corak permainan pasukan kita.
Sebahagian daripada pemain telah pun bermain bersamanya dalam pasukan kebangsaan.
"Segala urusan, terma-terma telah pun kita persetujui dan kontrak telah ditandatangani sewaktu Ahmad Fakri berada di Portugal lagi dengan kerjasama ejen beliau yang menguruskan semua urusan perpindahan Fakri," katanya kepada pemberita ketika memperkenalkan pemain tersebut di sini hari ini.
Persediaan Kelantan pada saingan awal Liga Super musim ini bagaikan 'patah taring' selepas kehilangan beberapa tonggak utamanya seperti Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azwan Roya dan S.Chanturu yang berpindah ke pasukan lain, sekali gus memberi cabaran besar kepada Kafa dalam mencari bakat baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain tersebut.
Sambil menegaskan tiada rombakan dibuat dalam pasukan tersebut, Annuar berkata kehadiran Ahmad Fakri bakal mengembalikan kegemilangan Kelantan yang berjaya merangkul tiga piala pada saingan Liga Malaysia musim lalu.
"Kita buat pengubahsuaian. Kita cuma memperkasakan pasukan dengan kita tengok pasukan memerlukan "default". Itu  tugas ketua jurulatih. Tugas saya cuma mencari ramuan.
"Saya hanya cuma mendapatkan pemain, kemudian jurulatih akan buat pengubahsuaian. Tidak ada pertukaran  pemain (mahupun) pertukaran kedudukan.
Itu biasa dalam mana-mana pasukan bola sepak," katanya.
Annuar bagaimanapun enggan mengulas harga yang dibayar untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut dan berkata: "Pelaburan secara berhemah, secukup rasa, pakai baju yang berpadanan dengan diri-sendiri."
Sementara itu, Ahmad Fakri berkata beliau akan berusaha memberikan persembahan terbaik dan kehadiran beliau diharap dapat membantu jentera serangan serta sayap Kelantan.
"Saya akan gunakan segala kemahiran yang dipelajari ketika berkhidmat selama tiga bulan bersama pasukan Atletico S.C  dan akan kongsi dengan rakan-rakan dalam pasukan bagi membantu Kelantan untuk bangkit," katanya. - Bernama

Annuar Musa Beri Amaran Keras

Tuesday 12 March 2013



SUSULAN  kekalahan  0-1 kepada Lions XII di Stadium Jalan Besar kelmarin, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa memberi amaran keras kepada pemainnya yang dilihat gagal menyerlah dalam saingan Liga Super 2013.

Jelas Annuar, sekiranya sasaran yang diletakkkan oleh persatuan itu gagal dicapai, maka orang yang terlibat harus bertanggungjawab  dengan apa yang terjadi.

"Cukupla alasan-alasan yang diberikan. Meskipun diberi segala-galanya dari musim lalu, tapi hasil amat menyedihkan.

"Jadi, jika KPI tidak dapat dicapai oleh orang yang dipertanggungjawabkan, maka pihak yang terlibat harus bertanggungjawab," kata Annuar di laman Facebooknya sejurus selepas perlawanan kelmarin.

Beliau berkata demikian kerana prestasi anak buah Bojan Hodak yang terus gagal mempamerkan aksi cemerlang apabila pasukan itu hanya meraih dua kemenangan dalam 10 perlawanan setakat ini.

Kelantan mencatat kekalahan ketiga apabila tewas 0-1 kepada Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Keputusan itu meletakkan Kelantan di kedudukan kelapan dengan mengutip 11 mata hasil 10 perlawanan setakat ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata,"sangat mengecewakan melihat The Red Warriors (TRW) beraksi malam tadi (kelmarin). Tak tahu apa lagi yang perlu dikata."

Annuar turut menjelaskan pergerakan yang lembik dilihat paling ketara dalam barisan pemain Kelantan.

"Tiada variasi dalam serangan dan pertukaran pemain yang dibuat sangat membinggungkan.

"Beberapa pemain baru juga tidak bermain mengikut tempo dan rentak TRW. Ia jelas pergerakan yang lembik," kata Annuar yang semakin resah dengan prestasi pasukan itu.

Hodak Tagih Kebangkitan Pemain



"TIADA alasan untuk kami terus tercicir mata lagi."

Demikian kata Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak menjelang aksi perlawanan kedua peringkat kumpulan G, Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang Ayeywady United di Pusat Latihan Belia, Yangoon, esok.

Pengendali berusia 42 tahun itu berkata, hanya kemenangan ke atas kelab dari Myanmar dilihat mampu memulihkan semangat juang barisan pemainnya yang masih kecewa ekoran kekalahan tipis 0-1 kepada Lions XII dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu.

“Masanya sudah tiba untuk pemain ‘wake up call’. Kami terbang ke Myanmar dengan moral pemain sedikit menurun tetapi saya pesan kepada mereka kita harus bangkit meraih tiga mata meski pun beraksi di tempat lawan.

“Kami harus melupakan kekalahan kepada Lions XII. Ini bukan masanya untuk bercerita tentang kekalahan lepas dan kami perlu memandang ke depan apabila bertemu Ayeyawady United, Rabu ini," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurut Hodak, beliau akui kesulitan bakal dihadapi apabila terpaksa bermain di bawah cuaca terik, namun menyifatkan pengalaman menentang Ayeyawady United di gelanggang yang sama pada kempen Piala AFC musim lalu memberi sedikit kelebihan kepada barisan pemainnya menyesuaikan keadaan tersebut.

Pasukan juara tiga piala musim lalu itu terbang ke Yangoon petang semalam tanpa kelibat pemain sayap, Mohd Norfarhan Muhammad yang terpaksa diketepikan akibat masalah kecederaan sambil dua tonggak utama iaitu Mohamad Zamri Ramli dan Obinna Nwaneri turut bergelut untuk pulih dalam masa yang singkat.

“Saya berharap gandingan Dickson Nwakaeme dan Dimitrios Pertratos yang kurang menjadi pada perlawanan sulung menentang Maziya SRC bangkit mempamerkan prestasi sebenar. Ini merupakan perlawanan kompetitif dan mereka perlu melakukan sesuatu (menjaringkan gol) buat Kelantan,” katanya.

Ditanya perasaan beliau setelah gagal membantu The Red Warriors mencipta kemenangan dalam beberapa perlawanan lalu, Hodak secara jujur mengakui mula merasa bahang tekanan ekoran prestasi merudum pasukannya sejak akhir-akhir ini.

“Semua jurulatih berdepan tekanan. Sesiapa yang melatih Kelantan juga pasti menghadapi tekanan. Itu perkara biasa dalam bola sepak dan saya sentiasa berfikiran positif. Saya buat kerja saya, anda buat kerja anda. Tugas saya belum selesai untuk membantu Kelantan meraih tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya.

Piya Gembira Dipanggil Sertai Harimau Malaya

Thursday 7 March 2013



KOTA BAHARU - "Saya gembira apabila dipanggil untuk menyertai Harimau Malaya," kata ketua pasukan Kelantan, Mohd Badri Mohd Radzi atau Piya.

Mohd Badri berkata penantiannya untuk menyertai kem kebangsaan, tamat apabila diberitahu namanya tersenarai dalam 27 pemain pilihan pengendali skuad kebangsaan, Datuk K.Rajagobal bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa dan pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen pada 22 Mac.

Bagaimanapun, Mohd Badri yang berasal dari Kota Baharu berkata walaupun dipanggil untuk menjalani latihan, namun beliau tidak dapat mengesahkan kedudukannya sebagai pemain dalam kesebelasan utama pasukan.

"Semua pemain mahu menyertai skuad kebangsaan termasuk saya. Ini adalah peluang terbaik untuk saya membuktikan kemampuan selain membalas kepercayaan yang diberikan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang cukup bersedia untuk memberikan persembahan terbaik itu turut menghargai kepercayaan Rajagobal untuk beliau beraksi di peringkat antarabangsa.

"Apa yang saya boleh janjikan, hanya persembahan terbaik sekiranya dapat beraksi ketika perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi 17 Mac ini dan itu adalah ujian pertama saya," katanya.

Akhbar hari ini melaporkan arkitek utama Kelantan itu mendapat berita gembira setelah Rajagobal turut menyenaraikan beliau sebagai antara 27 pemain pilihan dan perlu melaporkan diri di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 11 Mac untuk menjalani latihan.

Kancah bola sepak negara sebelum ini kecoh apabila timbul dakwaan daripada Pengurus Pasukan Kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal yang menyatakan bahawa Mohd Badri pernah menolak tawaran untuk menyarung jersi bersama skuad kebangsaan.

Dakwaan tersebut bagaimanapun dinafikan Mohd Badri, sebaliknya menegaskan beliau hanya dipanggil ketika perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea, dua tahun lepas.

Piya Kunci Mulut



KHABAR gembira buat Ketua Pasukan The Red Warriors, Mohd Badhri Radzi apabila namanya tersenarai untuk menyertai latihan bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Yaman di Kuala Lumpur, pada 22 Mac ini.

Setelah begitu lama tersisih, akhirnya jeneral padang berusia 31 tahun itu dipilih oleh pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal untuk kembali menyarung  jersi kebangsaan bagi menghadapi kempen tersebut.

Namun pemain yang lebih mesra dengan panggilan Piya itu sekadar menunjukkan aksi bersahaja dan mengambil sikap untuk ‘mengunci mulut’ apabila diberitahu mengenai perkhabaran tersebut.

“Maaf saya tidak mahu mengulas lanjut dan tidak mempunyai jawapan mengenai perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada sesi latihan menjelang aksi perlawanan peringkat kumpulan G, Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), semalam.

Kali pertama dan terakhir kapten yang membantu Kelantan menjulang tiga piala musim lalu itu menyarung jersi kebangsaan ialah ketika membantu skuad Pilihan Malaysia di bawah bimbingan Ong Kim Swee berdepan Chelsea dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Gugurkan pemain, serah kepada Kafa

Wednesday 27 February 2013



KEMASUKAN penyerang kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani bersama Kelantan disambut baik penyokong The Red Warriors.

Dibelenggu ketandusan di jentera serangan, Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (kelate.net), Mohd Khairi Yazid berkata, kehadiran Fakri sebagai penyerang berpengalaman diharap tidak menghampakan penyokong.

Soal siapa perlu digugurkan dari skuad itu selepas kemasukan Fakri, pihaknya tetap menyokong apa jua keputusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), namun berharap ia memberi impak positif kepada pasukan.

“Kami percaya jurulatih Bojan Hodak akan mengambil langkah terbaik. Mereka (pengurusan) lebih tahu kelebihan dan kekurangan pemain. Cuma kami mengharapkan percaturan terbaik dan Kelantan terus memberikan saingan sengit dalam setiap perlawanan,” katanya.

Rosmadi: Isu Butler-Hodak Selesai Tanpa Libatkan FAM

Thursday 17 January 2013



PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) berharap krisis yang berlaku antara jurulatih T-Team, Peter Butler dengan rakan sejawatannya, Bojan Hodak dapat diselesaikan secara profesional bagi mengelak tumpuan terjejas dalam saingan Liga Super.

Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya mahu melihat kedua-dua jurulatih itu menyelesaikan krisis secara profesional, bukan secara sentimen dan sebagainya.

"Setakat ini saya belum mengetahui perkara tersebut tapi saya akan siasat dan mengetahui secara terperinci kes ini terlebih dahulu.

"Saya juga akan bersemuka dengan Bojan dan berbincang sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan," katanya kepada Sinar Harian Online.

Tambah Rosmadi, "sebagai pihak pengurusan, saya berharap krisis ini dapat diselesaikan secara profesional."

"Mereka pun bukanlah calang-calang jurulatih, mereka jurulatih yang hebat, jadi lebih baik selesaikan masalah ini d iluar, tak payah melibatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya.

Rosmadi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Butler yang berkeras tidak mahu bersemuka dengan Hodak, sebaliknya mahu meneruskan niat melaporkan penghinaan jurulatih Kelantan itu terhadap ibunya kepada FAM.

Butler berkata, beliau akan melaporkan kejadian itu kepada FAM dalam masa terdekat ini kerana jurulatih Kelantan berusia 42 tahun itu tidak mahu memohon maaf kepadanya.

Baru-baru ini, Hodak didakwa menghina mendiang ibu Butler ketika perlawanan Liga Super antara T-Team dan Kelantan di Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Pengendali Kelantan itu dikatakan bertutur dalam bahasa Croatia yang tidak difahami pengadil perlawanan dan Butler.

Enggan mengulas dengan lebih lanjut, Rosmadi berkata, "buat masa ini saya tidak mahu komen banyak, biar saya berbincang dan meneliti kes ini terlebih dahulu."

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai prestasi semasa Kelantan yang dilihat hilang rentak setelah hanya mengumpul empat mata dalam tiga perlawanan setakat ini, Rosmadi tetap yakin pasukan gergasi Pantai Timur itu akan bangkit pada perlawanan seterusnya.

"Saya tetap berpuas hati dengan prestasi Kelantan setakat ini.

"Bagi saya, biasalah dalam bola sepak, ada naik dan turunnya. Bukannya selalu kita akan menang.

Harga Tiket Kelantan lwn Songkhla Turun 50%

Thursday 20 December 2012


Tan Sri Annuar Musa


Pada minggu lepas,Pengurus KAFA,Tan Sri Annuar Musa mengumumkan satu perlawanan persahabatan antarabangsa yang dimana Kelantan akan menentang Songkhla FC dari Thailand pada 22 Disember 2012 ..

Tan Sri turut mengumumkan 'harga tiket' untuk perlawanan menentang Songkhla FC pada minggu lepas..

Harga tiket asal yang diumumkan oleh Tan Sri adalah seperti berikut :
Astaka A : RM 20.00
Astaka B : RM 15.00
Terbuka  : RM 10.00

Selepas itu,Penyokong telah bersuara mengenai kenaikan harga tiket perlawanan persahabatan ini ..

Selepas KAFA tahu berita ini,kemungkinan KAFA merasakan harga tiket yang diwawarkan sebelum ini membebankan kepada penyokong  bolasepak Kelantan..

KAFA telah bersetuju untuk menurunkan harga tiket sebanyak 50% daripada harga tiket yang diwawarkan pada awalnya sebelum ini ..

Berikut adalah harga tiket selepas KAFA menurunkan 50% daripada harga asal  :
Astaka A : RM10.00
Astaka B : RM7.50
Terbuka : RM5.00

HARAP MAKLUK !!
 
Support : BolaSepak-Kelantan.com | KelateSoccer.Net | Ammar Aliff
Copyright © 2013. Team Kelantan - All Rights Reserved
Template Disediakan Oleh : Admin Ammar
Powered by Blogger